Miss Shopaholic....

join me and you'll be one of the iconic person...



Rabu, 10 Ogos 2011

contoh karangan bahasa melayu II

Bangunan bersejarah di negara kita amat perlu dikekalkan demi generasi yang akan datang. Bincangkan langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengekalkan bangunan bersejarah tersebut.

Dalam era permodenan yang dihambat dengan pelbagai kemajuan, Malaysia masih mampu
mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah sebagai warisan budaya yang unggul. Di kota raya
Kuala Lumpur sahaja, tersergam indah bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi mercu tanda
kebanggaan penduduknya. Kerajaan turut mengorak langkah untuk mengekalkan bangunan-bangunan
bersejarah ini bagi memastikan bangunan tersebut terus utuh sebagai bangunan yang bakal menjadi
kebanggaan generasi akan datang. Pada masa yang sama, bangunan bersejarah yang memiliki seni
bina yang unik ini dapat dijadikan satu tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara
kita. Justeru, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memelihara dan memulihara keunikan bangunan
tersebut agar tidak pupus ditelan zaman.
Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah mengorak langkah bagi
mewartakan bangunan bersejarah ini sebagai satu warisan kebangsaan yang perlu dipelihara. Dengan
pewartaan ini, bangunan-bangunan yang kebanyakannya dibina pada era penjajah dan berusia ratusan
tahun, dapat dijamin kewujudannya dan terhindar daripada sebarang usaha pemusnahan. Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur umpamanya, telah meletakkan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai
bangunan bersejarah yang perlu dipertahankan dalam Pelan Induk Pembangunan Kuala Lumpur. Bagi
memastikan bangunan tersebut terus kekal, usaha mengindahkan semula bangunan ini telah
dilaksanakan sejak tahun 2002 lagi. Kesannya, bangunan kebanggaan negara tersebut kini tersergam
indah menanti kunjungan pelancong sama ada dari dalam atau dari luar negara.
Bagi memenuhi impian seluruh masyarakat yang ingin melihat bangunan bersejarah di negara kita terus kekal, kerajaan juga telah mengambil inisiatif bagi menjalankan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah di seluruh negara. Kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang bukan kecil jumlahnya demi menjalankan usaha membaik pulih bangunan-bangunan lama tetapi
mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Sebagai contohnya, usaha membaik pulih Bangunan Sultan
Abdul Samad pada sekitar tahun 2007 yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya telah menelan belanja
sebanyak RM20 juta. Hal ini meliputi kerja-kerja menambah kemudahan asas di bangunan tersebut
serta menambah baik struktur bangunan yang telah rosak. Perlu diingat bahawa segala kerja baik pulih
tersebut hanya melibatkan bahagian dalam bangunan sahaja, manakala struktur dan bentuk bahagian
luar bangunan tersebut masih dikekalkan dengan ciri-ciri lamanya. Maka, dengan usaha yang
bersungguh-sungguh ini, hasrat masyarakat untuk melihat bangunan bersejarah di negara kita terus
kekal akan dapat dicapai.
Pada masa yang sama, malaksanakan usaha bagi mengindahkan kawasan persekitaran bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita dengan lanskap yang menarik. Antaranya adalah dengan mengindahkan taman-taman bunga daripada pelbagai jenis flora yang terdapat di negara kita. Hal ini bertujuan untuk memastikan bangunan tersebut sentiasa mendapat kunjungan daripada orang ramai. Kemudahan-kemudahan awam yang terdapat di bahagian dalam mahupun di bahagian persekitaran turut diperbaiki atau ditambah nilai. Sebagai contohnya, Bangunan Sultan Abdul Samadturut dilengkapi dengan kemudahan „lift‟, alat keselamatan serta tempat meletak kenderaan kepada para pengunjung. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini, bangunan-bangunan bersejarah
tersebut mampu menggamit kehadiran pengunjung sekali gus memperkenalkan budaya kita kepada
masyarakat luar negara.
Selain itu, salah satu elemen penting yang mendasari usaha pemuliharaan bangunan
bersejarah di negara kita adalah keterlibatan semua agensi yang berkaitan dengan kerja-kerja
penyelidikan dan pembangunan. Jabatan Arkitek Malaysia dan Jabatan Kerja Raya sebagai contohnya
sentiasa memantau perkembangan usaha-usaha pengekalan bangunan-bangunan bersejarah di seluruh
negara. Hal ini adalah bagi tujuan memastikan agar semua bangunan yang telah diwartakan sebagai
warisan kebangsaan sentiasa terpelihara dan selamat dikunjungi. Tida cukup dengan usaha tersebut,
beberapa buah universiti di tanah air kita sering kali menjalankan penyelidikan bagi mengenal pastistruktur dan reka bentuk bangunan ini menepati ciri-ciri yang diharapkan oleh masyarakat Malaysia. Usaha ini turut ditanamkan dalam jiwa kalangan pelajar yang mengambil mata pelajaran sejarah di mana mereka turut menjalankan kajian tentang bangunan-bangunan bersejarah di negara kita. Penyelidikan yang berterusan ini mampu menanamkan sikap cinta akan warisan budaya kita sesuai dengan matlamat kerajaan membangunkan nilai patriotism dalam jiwa remaja kita hari ini.
Bagi menyempurnakan cita-cita luhur untuk mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah di
negara kita, kerajaan turut bertindak memperkenalkan bangunan warisan tersebut kepada pelancong
dari seluruh dunia. Usaha ini didepani oleh Kementerian Pelancongan dan juga Lembaga Penggalak
Pelancongan Malaysia yang sentiasa merintis jalan bagi memperkenalkan tempat-tempat menarik di
Malaysia. Melalui usaha ini, bangunan-bangunan bersejarah dijadikan sebagai tempat lawatan wajib
bagi pelancong yang mengikuti pakej anjuran Kementerian Pelancongan. Langkah memperkenalkan
bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Kota A famosa, Istana Jugra dan
sebagainya mampu merealisasikan hasrat kita bagi mengekalkan bangunan bersejarah tersebut agar
terus kekal di persada dunia. Pada masa yang sama, pemeliharaan bangunan bersejarah ini dapat
mengekalkan fakta-fakta yang lebih jelas tentang budaya masyarakat kita yang hidup dan berkembang
dalam lingkungannya yang begitu unik.
Intiharnya, kewujudan bangunan bersejarah di negara kita yang wujud sejak abad ke dua
puluh lagi, mengambarkan kepelbagaian corak hidup masyarakat dahulu kala. Justeru, usaha untuk
mengekalkan bangunan tersebut bagi tatapan generasi akan datang adalah amat perlu dilaksanakan
demi kesinambungan budaya masyarakat kita. Budaya silam adalah cerminan masyarakat kita hari ini
kerana budaya menunjukkan bangsa. Lantas, tanggungjawab kita adalah perlunya memberi kerjasama
kepada pihak yang terbabit agar usaha memelihara dan memulihara bangunan bersejarah tersebut
akan terus kekal padu dan berpanjangan.

contoh karangan bahasa melayu....

KEPENTINGAN MEMULIHARA BANGUNAN BERSEJARAH

Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini lebih dikenali sebagai negara yang sedang membangun. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan rumah dibina yang menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan di kedai kopi sehingga sidang di Dewan Parlimen mutakhir ini ialah isu meruntuhkan bangunan bersejarah tetapi perbincangan itu telah membuat keputusan muktamad untuk tidak meruntuhkan bangunan tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga negara-negara yang telah merobohkan bangunan bersejarah seperti di Surabaya, Jakarta. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.

Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau lagenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.

Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan Menara Berkembar Petronas. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.

Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.